Dari Syuraih --iaitu Ibnu Haris-- dia berkata: Aku mendengar seorang lelaki dari sahabat Rasulullah SAW berkata: Rasulullah SAW bersabda:
"Adapun orang-orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang saleh, semoga dia termasuk orang-orang yang beruntung" (Al Qasas 28:67)
Berikut adalah hadis-hadis Rasulullah SAW tentang kelebihan taubat kepada Allah SWT.
Barangsiapa ingin mengejar syurga dan ingin menjauhkan diri dari neraka, sekaranglah saatnya. Saat taubat masih diterima, saat dosa masih diampuni, sebelum ajal menjelma, sebelum amal terputus, sebelum Allah menghitung dan menghisab perbuatan manusia di tempat yang tidak diterima lagi harta dan tidak berguna lagi alasan dan yang tersembunyi menjadi nampak.
2. Mutawakkilun (Orang-Orang yang Bertawakkal)
....dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (At-Talaq 65:2-3)
Yusof Al Qardhawi dalam Ath Thariq Ilallah; At Tawakal mengungkap keistimewaan hamba Allah yang bertawakal kepadaNya seperti berikut:
i. Timbul ketenteraman jiwa dan ketenangan hati.
ii. Meningkatkan kekuatan jiwa dan kekuatan rohani. Hal-hal material seperti kuasa, harta dan jasmani menjadi kecil dihadapannya dan tidak bererti sama sekali.
iii. Meningkatkan kewibawaan. Orang yang bertawakal akan memiliki kewibawaan sekalipun dia tidak memiliki kekuasaan, merasa kaya sekalipun tanpa harta dan merasa gagah berani sekalipun tanpa tentera.
iv. Keredhaan. Tawakal mengakibatkan seorang hamba menjadi redha dan lapang dada menerima apa yang diputuskan Allah SWT.
v. Optimis. Tawakal menimbulkan perasaan percaya diri yang tinggi dalam mencapai apa yang menjadi cita-cita dan keinginannya.
3. Mujahidun (Orang-Orang yang Berjihad)
Dan perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), tidak ada permusuhan lagi bagi orang-orang yang zalim. (Al-Baqarah 2:193)
Yang dimaksud jihad dalam teks umum ialah berjuang demi tegaknya agama Allah dimuka bumi. al-jihad pula bermaksud 'mengeluarkan segenap daya dan upaya untuk mencapai jalan kebenaran'. Dari segi bahasa, jihad bermakna 'kesulitan', 'kesukaran' dan 'kepayahan'. Secara terminologi, jihad bermakna 'mengerahkan segenap kemampuan di jalan Allah untuk meninggikan kalimat-Nya, membela agama-Nya, memerangi musuh-musuh-Nya, dan mencegah kezaliman, kejahatan dan pelanggaran.'
Rasulullah SAW telah mengalami banyak kesukaran sewaktu berdakwah untuk menegakkan agama Islam di bumi Mekah dan Madinah. Kita selaku umat Nabi Muhammad SAW perlulah meneruskan usaha dakwah baginda untuk menegakkan agama Islam di seluruh dunia. Inilah yang dikatakan jihad, apabila kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan agama Islam. Kita mesti sanggup mengorbankan barang berharga yang kita ada iaitu masa, tenaga dan wang untuk berjihad kepada Allah SWT. Para sahabat Rasulullah SAW sanggup mengorbankan nyawa sekalipun untuk mempertahankan agama Islam.
4. Khasyi'un (Orang-Orang yang Khusyuk dalam Solat)
Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk. (Al-Isra' 17:109)
Solat adalah perintah dari Allah SWT sewaktu peristiwa Israk Mikraj. Ia diwajibkan untuk muslim yang berakal dan baligh. Di dalam solat terdapat banyak kebaikan seperti zikir, doa, selawat dan meditasi. Solat juga adalah tiang agama. Barangsiapa menegakkan solat, dia telah menegakkan agama dan barangsiapa yang meninggalkannya bererti dia meruntuhkan agama. Solat juga adalah amalan yang pertama sekali akan dihisab oleh Allah SWT.
Dengan mengingati Allah SWT melalui solat, hati seseorang itu akan menjadi tenang. Solat yang khusyuk akan menimbulkan perasaan bahaw dirinya adalah sentiasa diawasi oleh Allah SWT. Perasaan diawasi inilah yang akan membimbing seorang manusia itu kejalan yang benar dan lurus. Seseorang tidak mungkin mencuri sekiranya di kiri, kanan, depan dan belakangnya selalu diawasi orang sekitar. Apalagi sekiranya ada di dalam hatinya yang sedang mengawasinya adaalah Zat yang Maha Segalanya, Maha Melihat dan Maha Mendengar.
Firman Allah: ...Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar... (Al Ankabut 29:45) Sekiranya solat seseorang itu masih belum dapat mencegah dirinya dari perbuatan keji dan mungkar, nyatalah dia masih belum khusyuk dalam solatnya.
Cara untuk mencapai khusyuk dalam solat adalah seperti berikut:
i. Menyingkirkan segala sesuatu yang mengganggu tumpuan dalam solat
ii. Berlaku Ihsan, iaiatu seakan-akan kita melihat Allah, sekurang-kurangnya Allah akan melihat kita.
iii. Mengetahui makna bacaan solat
iv. Sebahagian ulama menganjurkan untuk melihat tempat sujud
v. Tuma'ninah, iaitu tenang dan tidak terburu-buru.
5. Munfiqun (Orang-Orang yang Gemar Bersedekah)
Orang-orang yang menafkahkan hartanya pada malam dan siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Al Baqarah 2:274)
(Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebajikan. (Ali Imran 3:134)
Sedekah bererti memberikan sebahagian harta kepada orang lain atau institusi yang berhak untuk kepentingan sosial atau agama dengan mengharapkan keredhaan Allah SWT. Ada sedekah wajib dipanggil zakat sebanyak 2.5% setahun apabila cukup syaratnya. Pahala sedekah itu bergantung bukan sahaja kepada nilai sedekah tetapi bergantung juga kepada keikhlasan dan tujuan seseorang itu bersedekah.
Segala harta yang kita ada, semuanya adalah milik Allah SWT. Kita hanyalah pemegang amanah terhadap harta tersebut dan kita akan ditanya oleh Allah SWT bagaimana dan untuk apa kita gunakan harta tersebut. Ada manusia di dunia ini bertuhankan harta dengan melakukan rasuah, korupsi, eksploitasi sumber alam, menipu, mencuri dsb. Mereka ini termasuk dalam golongan yang rugi kerana mereka telah melakukan dosa besar.
Akhir kata, Ingatlah kata-kata Saiyidina Abu Bakar AS "Agama buat kehidupan di akhirat, harta buat kehidupan di dunia. Di dunia orang yang tidak berharta berasa susah hati, tetapi di akhirat orang yang tidak beragama merasa lebih sengsara"
Dan juga ayat Quran berikut: Apa yang (ada) di sisimu akan lenyap (hilang-musnah-hancur), sedangkan apa yang ada di sisi Allah itulah yang kekal. Dan sesungguhnya kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. (An-Nahl 16:96)
6. Zakirunallah (Para Ahli Zikir)
Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak (berzikir) supaya kamu beruntung (Al Jum'ah 62:10)
Zikir bermaksud mengingati Allah. Zikir tidak hanya dilakukan didalam solat atau ketika berada di dalam majlis ilmu, bahkan zikir itu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja baik secara terang-terangan (melalui lidah) atau secara tersembunyi (melalui hati). Menurut Ibnu Qayyum, indahnya zikir kerana ianya tidak dibatasi waktu sama ada ketika berdiri, duduk dan berbaring.
Berikut adalah fadhilat berzikir:
1. Menjadikan jiwa merasa tenang
2. Menjadikan hati bersih
3. Mendapatkan keampunan dan pahala disisinya.
4. Menghindari kesesatan
5. Termasuk dalam golongan yang beruntung
7. Sabirun (Orang-Orang yang Bersabar)
Kecuali orang-orang yang sabar (terhadap bencana) dan mengerjakan amal-amal saleh; mereka itu beroleh keampunan dan pahala yang besar (Hud 11:11)
Sabar itu adalah sebahagian dari iman (H.R. Abu Na'im)
Dalam dua ayat di atas, jelas Allah telah menyebut tujuan kita dihidupkan di dunia ini adalah untuk diuji. Seperti ujian di dunia, tentu ada markahnya. Allah SWT yang akan menilai dan menghisab lalu memberikan markah (pahala) kepada kita di hari akhirat. Beruntunglah orang yang lulus ujian Allah didunia ini kerana ganjarannya adalah syurga yang penuh dengan segala kenikmatan.
Hidup ini adalah satu ujian. Ujian ada yang positif berbentuk nikmat dan ada juga yang negatif berbentuk musibah. Allah SWT telah memberikan segala alat untuk manusia mengharungi ujian di dunia ini iaitu dengan akal, kitab (Quran, Injil dsb) dan pembimbing (rasul, ulama, ustaz dsb). Ujian itulah yang mengukuhkan iman, menambahkan pahala dan meninggikan darjat. Allah SWT sangat mengasihi mereka yang bersyukur apabila mendapat nikmat dan mereka yang bersabar apabila ditimpa musibah.
Jumhur ulama mambahagikan sabar dalam beberapa kategori seperti berikut:
i. Sabar dalam meninggalkan maksiat
ii. Sabar dalam menjalankan perintah agama
iii. Sabar apabila ditimpa bencana
Untuk menjadi hamba yang sabar, ada dua jalan yang perlu ditempuh iaitu dengan mecari ilmu dan berdoa.
8. Amal Anbiya' wal Mursalun (Amalan para Nabi dan Rasul)
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Al Ahzab 33:21)
Nabi dan Rasul adalah manusia pilihan Allah SWT yang telah diberikan tugas untuk menyampaikan risalah dakwah Islamiah kepada kaumnya. Dalam dakwahnya, nabi dan rasul lebih banyak menjelaskan tentang peraturan berkenaan akidah dan akhlak. Allah SWT berfirman: Dan Engkau (Wahai Muhammad) sesungguhnya mempunyai akhlak yang tinggi’ (Al-Qalam 68:4). Nabi dan Rasul mempunyai tugas untuk membetulkan kembali akidah manusia yang telah menyeleweng dari menyembah Tuhan yang satu.
Nabi dan Rasul mempunyai sifat-sifat mulia seperti berikut:
1. Terhindar dari perbuatan dosa (maksum)
2. Layak menjadi contoh teladan kepada umatnya kerana mempunyai sifat yang mulia seperti berbudi pekerti, kekukuhan akidah, baik hati, sabar dsb.
3. Mendapat rahmat kesejahteraan dari Allah.
4. Mereka diutus untuk amar makruf dan nahi mungkar maksudnya untuk memberi khabar gembira untuk amalan baik dan peringatan untuk amalan yang buruk.
5. Memiliki 4 sifat wajib iaitu: i. siddiq / jujur ii. amanah / dapat dipercayai iii. tabligh /menyampaikan iv. fatanah / bijaksana
Sama-sama kita beramal dengan amalan para nabi dan rasul dengan mengikut sunnah Rasulullah SAW dan cuba mengikuti sifat-sifat Nabi dan Rasul di atas.
9. Mukhlisun (Orang-Orang yang Ikhlas Beramal)
Bahkan barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang dia (ikhlas) berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada kekhuwatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati (Al-Baqarah 2:112)
Ikhlas itu adalah urusan hati. Hanya Allah SWT yang tahu sama ada seorang hambaNya itu ikhlas apabila berbuat kebaikan bahkan malaikatpun tidak tahu. Hati selalu berkata benar, seperti cermin. Setiap orang yang berdiri di depan cermin tidak mungkin dibohongi cermin bahawa dia cantik sedangkan kenyataannya tidak begitu. Cermin (hati) akan mengungkapkan apa adanya.
Sebanyak manapun amal yang dilakukan oleh seseorang, tidak bererti sekiranya tidak dilakukan dengan ikhlas. Sabda Rasulullah SAW "Allah tidak menerima amal, kecuali amal yang ikhlas kerana mencari keredhaan Allah" (H.R. Ibnu Majah). Junaid Al Baghdadi menyebut ikhlas adalah semata-mata kerana Allah dalam setiap tindakan. Sementara sebahagian fuqaha berpendapat bahaa orang yang ikhlas adalah orang yang menyembunyikan perbuatan baiknya sebagaimana dia menyembunyikan keburukannya, tidak dihebah atau dipamerkan.
Mencapai ikhlas harus diawali dengan niat. Seorang yang ikhlas bukan beramal untuk mendapatkan pujian atau keuntungan dunia, bahkan hanya beramal untuk mendapatkan keredhaan Allah samata-mata. Sifat yang bertentangan denga ikhlas ialah riya'. Riya' ialah jalan mendapat manfaat duniawi dengan melakukan amal akhirat. Contohnya banyak bersedekah agar disebut dermawan atau banyak membincangkan masalah agama agar disebut ahlinya. Berhati-hatilah dengan Riya' kerana Riya' disebut sebagai syirik kecil.
Salah satu sahabat bertanya, "Apakah jalan keselamatan itu?" Nabi menjawab, "Jangan sekali-kali engkau menipu Allah" Sahabat bertanya, "Bagaimana kita bisa menipu Allah?" Nabi berkata, "Engkau melakukan amalan sesuai yang diperintah Allah dan RasulNya, tapi engkau tidak berniat kerana Allah, maka hendaklah kamu takut perbuatan riya' sebab riya' itu termasuk syirik kecil. Dan orang yang berlaku riya' di kemudian hari akan dipanggil dengan empat macam panggilan, iaitu 'Hai orang riya', 'Hai orang khianat', 'Hai orang yang berdosa', 'Hai orang yang merugi, tersesatlah perbuatanmu, hilanglah amalmu, kamu sekali-kali tidak mendapatkan pahala disisiKu, sekarang pergilah kamu dan ambillah pahalamu kepada orang yang kamu maksudkan, hai penipu'," (Mutafaq 'Alaih)
10. Amal Waliyullah (Amalan Para Kekasih Allah)
Ingatlah, sesungguhnya terhadap wali-wali Allah itu tidak ada kebimbangan dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yunus 10:62)
Waliyullah adalah orang-orang yang dikasihi Allah. Kata wali mengandungi banyak maksud, antaranya 'teman', 'kekasih' atau 'pengikut'. Sebahagian ulama' berpendapat bahawa apabila Allah berkenan menjadikan seseorang sebagai wali-Nya, dibukalah pintu hijab sehingga dia selalu berzikir kepada Allah dan merasakan kenikmatan dalam beribadat kepadaNya. Telah terbuka tirai hijab menuju makrifat sehingga benar-benar mengetahui Allah dengan segenap kemuliaan dan keagunganNya.
Di antara tanda-tanda para wali Allah adalah adanya anugerah berupa kemampuan melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat orang awam, merasakan sesuatu yang tidak dirasakan orang kebanyakan, dan memahami banyak hal yang tidak dapat dijelaskan akal yang disebut dengan karamah. Namun, tidak setiap wali itu harus memiliki karamah.
Sebahagian pendapat berkata bahawa darjat wali dapat dicapai dengan mujahadah disertai bimbingan guru yang Rabbani. Menurut Sayid Ahmad Al Badawy r.a., syarat yang harus dilakukan oleh seorang hamba yang ingin mencapai darjat wali adalah seperti berikut:
i. Benar-benar mengenal Allah (tauhidnya teguh dan mantap kepada Allah)
ii. Benar-benar menjaga perintah Allah
iii. Berpegang teguh pada sunnah Nabi
iv. Sentiasa menyucikan diri (menjaga wudhuk)
v. Redha terhadap Qada' yang menimpanya, baik dalam kelapangan (senang) mahupun kesusahan (duka)
vi. Meyakini apa yang telah dijanjikan Allah
vii. Memutuskan keinginan (harapan) selain Allah
viii. Sabar pada saat mendapat ujian dalam hidupnya serta gangguan orang lain
ix. Mentaati perintah Allah
x. Kasih sayang terhadap semua makhluk ciptaan Allah
xi. Tawaduk atau rendah diri
xii. Tidak angkuh dan sombong
xiii. Mengenali syaitan dan tipu dayanya
xiv. Menyedari syaitan itu adalah musuh yang nyata dan harus diwaspadai
Akhir kata, berikut adalah 3 sifat waliyullah:
i. Para wali Allah selalu merasa gembira dalam hidupnya, tidak risau dan tidak bersedih dengan ujian yang menimpanya kerana mereka sangat hampir dengan Allah SWT. Hanya Allahlah tempat mereka mengadu dan mereka sudah tiada keinginan apa-apa terhadap makhluk.
ii. Mereka sentiasa beriman dan bertakwa. Keimanan mereka kepada Allah sudah mencapai tahap Ainul Yakin / Ihsan yang maksudnya seolah-olah mereka telah melihat Allah atau Allah selalu melihat mereka. Bahkan keimanan mereka boleh mencapai tahap Haqqul Yakin iaitu mengenali Allah dengan sebenar-benarnya. Mereka juga amat takut dengan azab Allah dan amat cinta dengan rahmat Allah.
iii. Mereka dicintai Allah. Siapa sahaja yang memusuhinya, maka dia ternyata telah memusuhi Allah.
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar telah berfirman, "Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku telah mengumumkan perang kepadanya. Hamba-Ku tidak mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling aku sukai daripada sesuatu yang aku fardhukan atasnya. Hamba-Ku sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya, Aku menjadi telinga untuk menjadi pendengarannya, mata untuk menjadi penglihatannya, tangan untuk menjadi pemegangnya, dan kaki untuk berjalannya. Jika dia memohon kepadaKu, nescaya aku akan memberinya. Jika dia memohon perlindungan dariKu, nescaya Aku akan melindunginya. Dan Aku tidak bimbang terhadap sesuatu yang Aku lakukan seperti kebimbanganKu terhadap jiwa hambaKu yang beriman yang mana ia tidak senang mati sedang Aku tidak senang berbuat buruk terhadapnya". (H.R. Bukhari)
11. Ashabul Maimanah (Golongan Kanan)
Di dalam ayat ini, Allah telah menerangkan bahawa jalan untuk mencapai taraf Ashabul Maimanah (golongan kanan) adalah jalan mendaki lagi sukar. Maksud jalan mendaki ialah jalan kebaikan yang dapat dicapai dengan kesungguhan dalam mentaati Rab-Nya. Antara perbuatan terpuji yang dilakukan oleh Ashabul Maimanah adalah seperti berikut:
i. Memerdekakan hamba abdi. Zaman sekarang, pembebasan hamba ini boleh diertikan menyelamatkan seseorang dari seorang yang kuat terhadap yang lemah. Pada zaman sahabat, pembebasan hamba dipelopori oleh Abu Bakar As Siddiq yang membebaskan Bilal bin Rabah dari majikannya yang kejam iaitu Umayyah bin Khalaf Jamhi al Quraisy. Selain itu, beliau juga membebaskan hamba lain iaitu Zinnirah, Labibah, Amir bin Fuhairiah, serta An-Nahdiyyah.
ii. Memberi makan kepada anak yatim. Bagi mereka yang kaya, hal ini adalah sebuah peluang dari Allah SWT untuk mencapai tahap Ashabul Maimanah. Walaubagaimanapun ini sukar untuk dilakukan kerana orang kaya itu sibuk menguruskan hartanya: contohnya kereta, rumah dan perniagaannya daripada memikirkan nasib anak-anak yatim.
iii. Menolong si miskin yang fakir. Memberi sedekah kepada mereka yang kelaparan atau memberikan biasiswa / elaun kepada anak-anak miskin untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat yang tinggi.
iv. Saling berpesan terhadap kesabaran dan kasih sayang. Maksudnya mereka menasihati mereka yang ditimpa ujian agar bersabar dengan rasa kasih sayang sesama makhluk.
12. Hafizun (Orang-Orang yang Amanah)
Amanah secara bahasa bermakna al wafa' (memenuhi) dan wadi'ah (diserahkan). Secara definisi bererti memenuhi apa yang diserahkan yang berupa segala kewajipan yang sudah diberikan seseorang, baik yang berhubungan dengan Allah (hablumminallah) atau terhadap manusia (habluminannas). Tidak sempurna iman seseorang yang tidak menyampaikan amanah adan tidak sempurna agama seseorang yang tidak menunaikan janji (H.R. Ahmad).
Contoh amanah dengan Allah (habluminallah) ialah memenuhi, menjaga dan melaksanakan hukum-hukumNya, baik mengikut suruhanNya mahupun meninggalkan laranganNya. Contoh amanah dengan manusia ialah memenuhi kewajipan terhadap kepimpinannya, menepati janji, jujur, tidak menyelewang dsb.
Beberapa sikat amanah yang utama adalah seperti berikut:
i. Memelihara solat. Solat adalah amanah kepada setiap muslima yang berakal dan baligh.
ii. Memelihara hukum-hukum Allah.
iii. Memelihara kemaluan.
iv. Memelihara sumpah.
v. Menjaga harta anak yatim.
vi. Menjaga hak suami/isteri
vii. Melunaskan hutang
Memelihara amanah/janji adalah urusan paling berat dalam agama seperti hadis dan ayat Quran berikut:
Pernah diceritakan oleh Ali r.a. ketika duduk bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang warga A'liyah bertanya kepada Nabi, "Ya Rasulullah, beritahukanlah kepadaku tentang kewajipan yang paling berat dan paling mudah dalam agama ini." Rasulullah menjawab, "Yang paling mudah adalah ikrar bahawa Tuhan hanya Allah dan Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya, sedangkan yang paling berat adalah menjadi orang yang amanah. Sesungguhnya, tiada beragama orang yang tidak amanah, juga tidak dianggap melakukan solat dan zakat. (H.R. Bazar)
Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (Al-Ahzab 33:72)
13. Syakirun (Orang-Orang yang Bersyukur)
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras. (Ibrahim 14:7)
Dari Amar bin Syu'aib dari ayahnya, Nabi bersabda, "Ada dua sifat yang apabila keduanya berada dalam diri seseorang, Allah mencatatnya sebagai orang yang bersyukur dan sabar. Pertama, hendaklah dia melihat kepada orang yang berada di atasnya dalam urusan agama sehingga dia mengikutinya. Dan yang kedua, hendaknya dia melihat orang yang berada di bawahnya dalam masalah dunia, lalu dia bersyukur (dengan memuji) kepada Allah."
Hakikat syukur itu sebenarnya dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya baik dalam keadaan senang, mahupun dalam keadaan susah. Ini termasuklah redha dengan segala ketetapan / takdir dan nikmatNya kepada kita tidak kira banyak atau sedikit. Itulah cara kita untuk berterima kasih kepada Allah SWT di atas segala nikmat yang telah diberikan kepada kita. Ucapan Alhamdulillah pula adalah zikir kepada Allah SWT untuk menunjukkan rasa syukur kita kepadaNya.
14. Muttaqun (Orang-Orang yang Bertakwa)
Sabda Rasulullah SAW pada Haji Wada' "Wahai manusia, sesungguhnya Tuhanmu satu dan bapamu satu, setiap kamu berasal dari Adam, sedang Adam dari tanah. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu, tidak ada kelebihan orang Arab dan bukan Arab, kecuali takwa. (Mutafaq 'Alaih)
Dalam bahasa Arab, takwa berasal dari kata ittaqa yang bererti 'takut'. Ianya juga bermaksud 'waspada' atau 'menjaga diri'. Kalangan ulama' berpendapat bahawa takwa adalah gabungan antara rasa takut dan harapan. Apabila seseorang itu melaksanakan segala perintahNya, pada hakikatnya dia sedang mengharapkan kebaikan dalam kehidupannya di akhirat. Pada masa yang sama, dia juga menghaapi rasa takut untuk terjerumus ke dalam neraka. Kedua-dua perasaan mengharap dan takut inilah yang menimbulkan rasa takwa.
Menurut Imam Ibnu Rajab dalam Jama'ul ulum wal Hikam, takwa adalah keupayaan seseorang dalam melindungi diri dari hal yang ditakutinya dengan membuat benteng yang dapat menjaganya. Sementara menurut Imam Thalaq bin Hubaib, takwa adalah mentaati perintah Allah berdasarkan hidayah dariNya dengan mengharapkan pahala dariNya dan tidak bermaksiat padaNya dan takut azabnya.
Berikut adalah kelebihan orang yang bertakwa:
1. Dicintai Allah
Barangsiapa tang menepati janji (yang dibuat)nya dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertakwa. (Ali Imran 3:76)
2. Mendapatkan kemenangan.
Mereka yang bertakwa dan berjuang dijalannya, walau mati sekalipun tetap dikira menang kerana telah mati syahid.
3. Mendapat pahalaNya.
Setiap amal kebaikan orang yang bertakwa akan dibalas dengan pahala disisiNya sebanyak 10x / 100x bahkan sebanyak kemurahanNya.
4. Diberikan jalan keluar yang tidak terduga, mudah urusannya, ringan beban yang dipikulnya, dan dipenuhi keperluannya.
5. Mendapatkan rahmatNya
6. Allah mengampuni dosanya
7. Mendapat balasan syurga
Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa. (Maryam 19:63)
15. Ulama (Ahli ilmu Agama)
Rasulullah SAW menyampaikan bahawa jika Allah mencabut ilmu, Allah akan mewafatkan para ulama sehingga jika Allah tidak meninggalkan seorang ulamapun lalu orang-orang mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh. Kemudian mereka ditanya, merekapun berfatwa tanpa dasar ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan (H.R. Bukhari Muslim)
Ulama adalah orang -orang yang ahli dalam pengetahuan agama Islam. Mereka adalah pewaris para nabi. Dalam bahasa Arab, ulama merupakan bentuk jamak dari kata alim, iaiatu 'orang yang memiliki ilmu yang luas serta mendalam.
Para ulama memiliki kedudukan yang amat mulia di sisi Allah. Dalam satu riwayat, rapatnya seseorang dengan para ahli ilmu agama yang lurus dapat menyebabkan dia selamat dari siksa neraka. Sehinggakan ikan-ikan di laut, binatang-binatang buas di hutan dan binatang yang berbisa (seperti ular dan sebagainya) juga sentiasa memohon keampunan daripada Allah SAW untuk mereka. Ini semuanya ialah kerana ilmu merupakan nur bagi hati dan cahaya bagi mata. Melalui ilmu seseorang hamba boleh sampai ke tahap sebagai seorang yang terbaik di kalangan umat dan boleh mencapai kedudukan yang tinggi di dunia dan akhirat.
16. Al-Abrar (Pelaku Kebajikan)
Al Abrar asal katanya dari Al birru yang bererti 'ketaatan', amal saleh. Al Abrar ialah peribadi muslim yang gemar berbuat kebaikan tidak saja dalam urusan pengabdian kepada Allah, tetapi juga berbuat sesuatu yang bermanfaat terhadap semua manusia.
Dalam Surah Al Bagarah ayat 177, Allah SWT menceritakan ciri-ciri Al Abrar seperti berikut:
1. Beriman kepada Allah dan rukun iman
2. Memberikan harta yang dicintainya kepada sanak kerabat, anak yatim, orang miskin, para musafir, para peminta-peminta, dan memerdekakan hamba sahaya.
3. Mereka yang mendirikan solat
4. Mereka yang menunaikan zakat
5. Mereka yang menepati janji
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang beruntung. (Al-Imran 3:104)
17. Shadiqun (Orang-Orang yang Jujur)
Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar (dalam segala perkara). (Al-Ahzab 33:70)
18. Mukminun (Orang-Orang yang Beriman)
Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman (Al Mukminun 23:1)
Iman asalnya dari kata amana, satu akar kata dengan aman dan amanah. Iman terdiri dari rukun berikut: percaya kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasul, hari kebangkitan, dan qadha & qadarNya (H.R. Bukhari). Iman amat berkait rapat dengan Islam iaitu: bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bukan Ramadhan, dan melaksanakan ibadah haji. Iman itu perlu dikatakan melalui lisan, diyakini dengan hati dan diamalkan dengan perbuatan.
Iman seseorang itu dapat bertambah dan berkurang. Agar iman kita bertambah perlulah kita mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan ibadah-ibadah fardhu dan sunat dan perlulah bermujahadah melawan nafsu yang mengajak kepada kemalasan dan dosa. Proses mendekatkan diri kepada Allah itu perlulah dilakukan secara istiqamah iaitu dengan secara terus-menerus. Menurut Ibnu Taimiyah, satu istiqamah adalah lebih baik dari seratus karamah.
Iman itu adalah sesuatu yang sangat berharga dan boleh membawa seseorang itu ke syurga dengan izin dari Allah walaupun imannya hanyalah sebesar biji sawi. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. dari Nabi SAW sabdanya: "Setelah penduduk syurga masuk ke dalam syurga dan penduduk neraka masuk ke dalam neraka, maka Allah berfirman: Keluarkanlah dari neraka orang-orang yang ada iman di dalam dadanya (walau hanya) sebesar biji sawi!"
19. Ulil Albab (Ahli Fikir)
Allah menganugerahkan al hikmah kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, dia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah). (Al Baqarah 2:269)
Ulil Albab adalah hamba yang menggunakan daya akalnya dengan optimum mulai dari berfikir (takfir), mengingat (tadzkir), menghafal (tahfidz), berimaginasi (tahyil) dan memahami (tahfim) kehidupan melalui ayat-ayat Allah baik yang tersurat (Al-Quran) ataupun yang tersirat (penciptaan alam) dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Sesungguhnya, dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Mahasuci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka." (Ali-Imran 3:190-191)
Akal haruslah digunakan untuk merenungkan tanda-tanda kebesaran Allah. Akal juga haruslah digunakan untuk membezakan perkara yang baik dan perkara yang buruk. Manusia yang tidak menggunakan akalnya untuk tujuan kebaikan ini akan menjadi rosak dan mengakibatkan turunnya taraf manusia itu sehingga menjadi lebih rendah dan lebih hina dari binatang.
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka jahanam) kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A'raaf 7:179)
Berikut adalah 5 sifat Ulul Albab:
1. Ulul Albab melihat gerak alam sebagai kehendak Allah. Siang dan malam, terbit dan terbenam matahari, hembusan angin, cuaca yang panas dan dingin; semuanya adalah kehendak Allah. Dengan pemahamam seperti itu, mereka selalu mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan baring.
2. Gemar bermunajat pada tengah malam.
3. Bertakwa kepada Allah, iaitu dengan bersunguh-sungguh dalam ketaatan dengan menjalankan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
4. Pandai mengambil iktibar. Mereka mengambil pengajaran dari kisah-kisah umat terdahulu. Mereka bimbang akan mengalami nasib seperti umat terdahulu yang ditimpa azab akibat keingkarannya.
5. Ulil Albab diberi pengetahuan hikmah dari Allah kerana mereka mengambil pelajaran dari ayat-ayat-Nya.
Sumber: Buku 'Para kekasih Allah' karya Abdillah F. Hasan






